Kalau ada kawan-kawan kita kata dia ahli PAS atau ahli UMNO atau dia kata dia orang PAS atau orang UMNO tapi waktu yang sama dia menunjukkan ketidak setujuan kerja sama antara UMNO dan PAS atau cuba memberi persepsi yang usaha kerja sama PAS dan UMNO ini sia-sia, ketahuilah mereka itu adalah pendukung atau penyokong PH walau pun mereka itu telah jadi ahli PAS atau UMNO sejak hari pertama dapat surat beranak. Jauhkan dari mengikut mereka tapi dekati mereka melalui doa dan sedekah atau hadiah agar mereka bertaubat.
Bila orang tanya aku, macam mana engkau boleh terima kerja sama PAS dengan UMNO maka aku bagi tahu mereka DAP pun kita boleh dan pernah kerja sama kenapa UMNO tak boleh? Betul, UMNO dulu terlalu menzalimi PAS dan kalau diikut hati memang tiada maaf bagi UMNO tapi bukankah Rasulullah memaafkan 50 orang pasukan pemanah di atas bukit Uhud yang meninggalkan tempat mereka ditugaskan sehingga pasukan Islam dikatakan kalah? Bukankah Rasulullah memaafkan semua mereka yang pernah menyakitkan hati dan mencederakan malah membunuh orang Islam dari kalangan kaum musyrikin Mekah ketika pembukaan kota Mekah kecuali beberapa orang sahaja? Jadi, akhlak siapakah yang kita nak ikut kalau bukan akhlak Rasulullah? Dan, bukankah Allah janji yang Dia akan uruskan orang-orang yang tidak ikhlas dan ada niat jahat dari kalangan mereka yang menawarkan perdamaian kepada PAS? Janji siapakah yang lebih benar dari janji Allah?
Atas alasan-alasan inilah aku terima kerja sama itu namun semuanya tertakluk kepada keputusan pimpinan PAS. Buat masa ini kita hanya bersama dalam isu-isu tertentu dahulu sebagaimana yang selalu diulang oleh timbalan presiden dan naib-naib presiden. Bukankah kalau nak kahwin sunat bertunang dahulu untuk saling kenal mengenali dahulu? Takut kalau terus nikah nanti banyak masalah yang timbul. Bukankah majikan kalau mahu mengambil pekerja tetap ada tempoh pemerhatiannya yang disebut “under provation (mungkin aku salah eja)”? Begitulah dengan kerja sama PAS dan UMNO ini kerana ini bukan kerja kecil dan banyak perkara yang harus diperhalusi.
Mungkin ada yang bertanya kanapa mesti timbalan presiden dan naib-naib presiden sahaja yang bagi kenyataan? Presiden tak pernah cakap ya atau tidak pun? kenapa bukan presiden sendiri?
Jawapannya adalah timbalan presiden dan naib-naib presiden hari ini tak sama dengan bekas timbalan presiden dan naib-aib presiden yang lalu yang hari ini semua sudah jadi menteri, timbalan menteri dan senator melalui parti baru mereka. Pimpinan yang ada hari ini adalah pimpinan yang mendukung presiden. Jadi sudah tentu kata-kata mereka telah mendapat lampu hijau dari presiden. Jika presiden tunjuk lampu biru, oren atau merah tentu mereka tidak berkata sedemikian.
Untuk itu, aku akan terus bersama PAS dan akan bersama apa sahaja langkah yang diambil PAS dalam hubungannya dengan UMNO.
